Sejarah Dunia Barat
Kuasa besar manakah yang paling bertanggungjawab dalam menyebabkan
tercetusnya Perang Dingin – Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat atau Britain?
by NF
Perpecahan
Kuasa Besar bertiga yang terdiri daripada Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat dan
Britain telah membawa kepada tercetusnya Perang Dingin di Eropah. Perang Dingin
merupakan perang yang berbeza dengan perang-perang yang lain. Hal ini demikian
kerana, Perang Dingin ialah perang yang tidak melibatkan penggunaan senjata
oleh pihak-pihak yang terlibat. Antara pihak yang terlibat dalam perang ini
boleh dikategorikan kepada dua, iaitu blok kapitalis dan blok komunis.
Masing-masing bersaing antara satu sama lain demi menjaga kepentingan negara
mereka. Selepas perang dunia kedua, dunia telah dikuasai oleh dua kuasa besar
iaitu Kesatuan Soviet dan juga Amerika Syarikat.
Hubungan antara kedua-dua kuasa besar yang
renggang selepas tamat peperangan dan ini menandakan bahawa seolah-olah akan
wujud satu peperangan yang baharu antara kuasa besar tersebut.[1] Terdapat krisis-krisis
awal yang telah mencetuskan ke arah berlakunya Perang Dingin dan timbul
persoalan tentang pihak yang seharusnya dipertanggungjawabkan dalam mencetuskan
Perang Dingin. Oleh itu, ekoran daripada persoalan yang timbul ini, telah wujud
empat aliran pemikiran yang mempunyai pandangan yang berbeza tentang kekuasaan
yang harus bertanggungjawab. Antaranya ialah aliran Tradisionalis, aliran
Revisionis, aliran Pasca-Revisionis dan Sekolah Pemikiran British. Berdasarkan
hujah-hujah yang dikemukakan oleh aliran-aliran ini juga kita akan dapat
menilai pihak yang seharusnya bertanggungjawab dalam mencetuskan Perang Dingin.
Tradisionalis
Aliran
Tradisionalis atau ortodoks merupakan salah satu aliran yang menyalahkan
Kesatuan Soviet sebagai punca kepada tercetusnya Perang Dingin di Eropah.[2] Hal ini demikian kerana,
Tradisionalis telah berhujah bahawa pada era pasca-perang dunia kedua, dasar
luar Kesatuan Soviet adalah bersifat agresif. Kesatuan Soviet dikatakan
bertindak agresif dalam mencapai matlamatnya iaitu untuk meluaskan pengaruh
komunis seluas yang mungkin.[3] Keadaan ini jelas dapat
dibuktikan dengan melihat hampir keseluruhan negara di Eropah Timur telah
bertukar menjadi kerajaan komunis berikutan krisis yang berlaku di Poland,
Jerman, Greece dan Turki. Malah Kesatuan Soviet juga cuba untuk melebarkan
sayapnya di Eropah Barat apabila berlakunya peningkatan populariti terhadap
pengaruh parti politik berfahaman komunis di Perancis dan juga Itali. Oleh
sebab, tindakan Soviet yang nekad untuk meneruskan pelaksanaan dasar luarnya
itu, maka hubungan baik antara blok kapitalis dan blok komunis yang telah
terjalin sejak zaman perang dunia kedua tidak lagi dapat dipertahankan dan
telah membawa kesan terhadap perpecahan Kuasa Besar Bertiga yang terdiri
daripada Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat dan Britain.
Selain itu, tradisionalis juga
mengemukakan hujah-hujah bagi membuktikan Soviet yang bertanggungjawab atas
tercetusnya Perang Dingin. Pertama, di Poland, Soviet enggan memberi peluang
terhadap rakyat Poland untuk memilih sendiri kerajaan mereka dengan tidak
melaksanakan pilihan raya bebas. Di Jerman pula, Soviet telah memaksa agar
parti politik di Berlin bergabung dengan parti komunis dan enggan memberi
kerjasama terhadap Pelan Empat Kuasa yang dilaksanakan di Jerman. Manakala di
Greece pula, Soviet telah mengarahkan agar parti komunis di Greece untuk
memberontak menentang Kerajaan Beraja Greece.[4] Di Turki pula, Soviet
telah menuntut Kars dan Ardahan serta selat Bosphorus dan selat Dardanelles
daripada Turki. Tegasnya, Sejarawan Tradisionalis telah meletakkan
tanggungjawab terhadap segala tindakan-tindakan atau desakan yang dilakukan
oleh Kesatuan Soviet ini merupakan pencetus kepada Perang Dingin yang berlaku
di antara blok komunis dan blok kapitalis.
Revisionis
Aliran
Revisionis pula melihat bahawa kuasa Amerika Syarikat yang bertanggungjawab sebagai
pencetus Perang Dingin.[5] Hal ini demikian kerana,
Sejarawan aliran ini mengatakan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Soviet
adalah difensif iaitu untuk mempertahankan diri dan bukannya agresif seperti
yang dikatakan oleh aliran tradisionalis. Malah Revisionis menyalahkan Amerika
Syarikat kerana kegagalannya dalam mengenal pasti sifat sebenar dasar luar
Soviet itu sendiri yang telah mencetuskan Perang Dingin. Tambahan pula, Amerika
Syarikat telah bertindak menggunakan bom nuklear ke atas Hiroshima dan Nagasaki
tanpa Soviet mengetahuinya. Oleh itu, Alperovitz mendakwa bahawa tindakan
Truman itu merupakan salah satu bentuk ugutan Amerika Syarikat terhadap
Kesatuan Soviet. Malah salah seorang Sejarawan Revisionis ekstrem iaitu Gabriel
Kolko dengan tegasnya telah menyalahkan Amerika Syarikat (The Limits of Power, The World and United States Foreign Policy,
1972), antara pandangannya ialah Truman seharusnya berkongsi maklumat mengenai
pengeboman nuklear ke atas Hiroshima dan Nagasaki kepada Soviet supaya Soviet
tidak berasa terancam.
Revisionis juga telah mengemukakan
beberapa hujah untuk menyokong Kesatuan Soviet dan menyalahkan Amerika
Syarikat. Antara hujahnya adalah berkenaan dengan krisis di Poland, tindakan
Soviet terhadap Poland selepas perang dunia kedua dengan mengawal Eropah Timur
adalah bersifat defensif iaitu mempertahankan diri dalam menghadapi ancaman
dari pihak luar dan bukan agresif.[6] Tambahan pula, Eropah
Timur merupakan kawasan lingkungan pengaruh milik Kesatuan Soviet yang sah.
Malah, Revisionis juga mengatakan bahawa Soviet hanya mahu memastikan
negara-negara yang berjiran dengannya tidak anti-komunis dalam bentuk
ketenteraan dan tidak mahu lagi dijadikan sebagai tempat medan peperangan.
Seterusnya, di Jerman pula Soviet dikatakan sangat takut dan gentar jika sekiranya
Jerman bangkit semula dan tindakannya adalah wajar untuk Soviet sendiri
mentadbir zon miliknya di Jerman dengan cara mereka sendiri kerana ketidakberkesanan
Pelan Empat Kuasa.
Manakala, di Greece, tidak ada bukti yang
kukuh untuk membuat tuduhan ke atas Kesatuan Soviet di atas pemberontakan parti
komunis yang berlaku di Greece dan Soviet juga telah menegaskan bahawa mereka
tidak mengarahkan Yugoslavia, Bulgaria dan Albania untuk membantu komunis di
Greece. Krisis di Turki pula, Revisionis mengatakan bahawa tuntutan yang dibuat
oleh Kesatuan Soviet ke atas wilayah Kars dan Ardahan adalah sah kerana pada
asalnya wilayah tersebut merupakan milik Soviet. Permintaan Soviet untuk
mengakses secara mudah ke Laut Mediterranean serta diberikan pengkalan tentera
laut untuk memudahkannya juga adalah bersifat munasabah dan juga sah.[7] Tegasnya, Revisionis telah
mengemukakan hujah-hujahnya untuk menyokong Kesatuan Soviet dan menyalahkan
Amerika Syarikat yang bersikap paranoid kerana merasakan tuntutan-tuntutan yang
dibuat oleh Soviet adalah bertujuan untuk menduduki dan mengambil alih semula
Turki dan Timur Tengah.
Pasca-Revisionis
Selepas
kemunculan aliran Revisionis, muncul pula aliran Pasca-Revisionis yang mula
berkembang dalam pensejarahan Perang Dingin. Sejarawan Pasca-Revisionis cuba
untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak untuk bertanggungjawab dalam
mencetuskan Perang Dingin, sama ada Kesatuan Soviet mahupun Amerika Syarikat.[8] Hal ini demikian kerana,
salah faham dan ketidakupayaan Amerika Syarikat untuk memahami kebimbangan
Soviet terhadap keperluan negaranya untuk mempertahankan diri merupakan antara
konflik yang berlaku antara kedua-dua pihak. Menurut John Lewis Gaddis dalam The United States and The Origins of The
Cold War (1972), beliau percaya Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet mahu
mengekalkan keamanan selepas perang dunia kedua, namun konflik yang tercetus
ini telah menggagalkannya.
Wujud juga sejarawan aliran ini yang
menyalahkan kedua-dua kuasa tersebut kerana mengakibatkan Perang Dingin
berlaku. Misalnya, Martin P. Leffler (1992), Sejarawan Pasca-Revisionis pula
menyalahkan kedua-dua pihak iaitu Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat kerana
mencetuskan Perang Dingin untuk menguasai dunia.[9] Manakala, Marc
Trachtenberg (1999), pula mengatakan bahawa Perang Dingin merupakan perang yang
tercetus disebabkan isu penyelesaian persoalan Jerman pada era pasca-perang
dunia kedua. Walau bagaimanapun, dakwaan beliau bukanlah bertujuan untuk
menyalahkan mana-mana pihak dan berpendapat bahawa ia tercetus disebabkan oleh
salah faham dan suasana tegang pada ketika itu yang telah menekan dan mendorong
tercetusnya kepada Perang Dingin.
Sebagai
contoh, Pasca-Revisionis telah mengemukakan beberapa hujah berkenaan dengan
krisis di Greece dan Turki. Di Greece telah berlakunya perang saudara yang
melibatkan parti komunis Greece memberontak menentang kerajaan Beraja Greece
dan Amerika Syarikat menyangka Soviet dalang kepada pemberontakan ini. Di Turki
pula, Soviet hanyalah menuntut haknya iaitu Wilayah Kars dan Ardahan, selat
Dardanellas dan Bosphorus serta satu pengkalan tentera laut di selat-selat
tersebut. Namun begitu, Amerika Syarikat telah salah sangka terhadap tuntutan
yang dibuat oleh Soviet. Soviet dikatakan cuba untuk meluaskan pengaruhnya di
Eropah Timur. Berkenaan dengan ancaman perang nuklear pula, Amerika Syarikat
rancak dalam membangunkan senjata nuklear bersama Britain kerana menyangka
Kesatuan Soviet cuba bertindak agresif terhadap Eropah Timur. Hal ini
menyebabkan Soviet juga ingin bertindak balas dengan mengukuhkan kekuasaanya di
Eropah Timur bagi mempersiapkan diri dengan ancaman perang nuklear daripada
blok kapitalis.[10]
Tambahan pula, adalah wajar untuk Kesatuan Soviet berasa paranoid terhadap blok
kapitalis kerana mereka pernah dipinggirkan ketika keputusan penggunaan bom
nuklear ke atas Jepun dibuat semasa perang dunia kedua dan ia adalah di luar
pengetahuan Soviet.
Secara rumusannya, berdasarkan hujah
Sejarawan Pasca-Revisionis yang menyalahkan Amerika Syarikat dan Kesatuan
Soviet hanyalah berkenaan dengan teori perluasan kuasa antara blok kapitalis
dan blok komunis. Namun begitu, dapat disimpulkan bahawa Sejarawan
Pasca-Revisionis cuba untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menyatakan
bahawa suasana pada ketika itu yang mendorong ke arah Perang Dingin.
Sekolah Pemikiran
British
Berdasarkan
sumber-sumber yang diperolehi ekoran daripada pembukaan rekod-rekod British
kepada orang awam bermula pada tahun 1975 telah membuktikan bahawa Britain yang
bertanggungjawab terhadap Perang Dingin. Penguasaan Britain terhadap Timur
Tengah adalah untuk menjamin status kuasa besar Britain yang terjejas
disebabkan krisis ekonomi yang mereka hadapi.[11] Britain telah bertindak
menghasut Amerika Syarikat supaya melibatkan diri atau campur tangan terhadap
krisis yang berlaku di Greece dan juga Turki. Sebelum pemerintahan Amerika
Syarikat diambil alih oleh Truman, Amerika Syarikat telah diperintah oleh Roosevelt.
Roosevelt pada ketika pemerintahannya,a kekal untuk tidak campur tangan dan
mengamalkan dasar isolasi. Malah Roosevelt juga bersikap dingin dengan Churchill
yang sering memujuknya untuk mencampuri hal ehwal di Greece dan Turki.
Namun begitu, setelah Roosevelt
meninggal dunia dan pemerintahan diambil oleh Truman, beliau telah terpedaya
dengan hasutan Churchill dan akhirnya dasar isolasi yang diamalkan oleh Amerika
Syarikat telah bertukar kepada dasar campur tangan apabila Doktrin Truman telah
diperkenalkan pada 12 Mac 1947 dengan memberi bantuan ekonomi kepada Greece dan
Turki.[12] Doktrin Truman menjadi
tunjang kepada pengisytiharan perang secara rasmi terhadap blok komunis iaitu
Kesatuan Soviet. Antara faktor yang menyebabkan Britain meminta bantuan dari
Amerika Syarikat adalah kerana kekuasaan tentera Britain yang semakin lemah
ekoran masalah ekonomi. Hal ini demikian kerana, Britain telah menggunakan ¼ daripada
sumbernya untuk membiayai kos peperangan perang dunia kedua dan keadaan ini
telah menyumbang kepada masalah domestik seperti masalah kemiskinan,
pengangguran, kebuluran pada pasca-perang dunia kedua.[13] Tambahan pula, ia turut
menjejaskan isu-isu yang berkaitan dengan hubungan luarnya (foreign affairs), yang menyebabkan
Britain tidak lagi mampu untuk menampung kos ketenteraan seberang laut yang
tinggi.[14] Setiausaha Luar Britain
iaitu Ernest Bevin juga telah didesak untuk memotong perbelanjaan ketenteraan
British bagi mengelakkan Britain bankrap. Tetapi Bevin enggan bertindak
sedemikian kerana bimbang Greece dan Turki jatuh ke tangan Soviet.
Kewujudan Sekolah Pemikiran British juga
telah menamatkan konsep bipolar affairs
oleh aliran Tradisionalis yang merujuk kepada persaingan di antara dua kuasa
sahaja iaitu Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat. Malah berdasarkan sumber
John Kent dalam bab 7 “British Policy and
The Origins of The Cold War”:
“… historians have found British records to be an
invaluable source for understanding the origins of the Cold War. According to
some scholars these records demonstrate that the Cold War was not a bipolar
affair. They show that British officials shared the fears and concerns of
Americans about the potential of a Soviet threat. Indeed some analysts believe
that the British alerted and prodded the Americans to assume a bolder posture
against Soviet/ Communist expansionism.” [15]
Berdasarkan
petikan di atas jelas menunjukkan bahawa sumber dan rekod Britain telah
membantu sejarawan untuk memahami tentang kejadian Perang Dingin yang
membuktikan ia bukanlah bipolar affair
seperti yang dinyatakan oleh aliran Tradisionalis sebelum ini. Ia membuktikan
bahawa Perang Dingin melibatkan tiga kuasa besar iaitu Kesatuan Soviet, Amerika
Syarikat dan Britain.
Britain Pencetus
Perang Dingin
Merujuk
kepada hujah-hujah yang dikemukakan oleh keempat-empat aliran, Britain
merupakan Kuasa Besar yang harus dipertanggungjawabkan dalam mencetuskan Perang
Dingin. Britain terpaksa bersaing dengan Soviet untuk mempertahankan tuntutan
ke atas Timur Tengah dan Lautan Mediteranean.[16] Hal ini menyebabkan Britain
telah cuba menyelamatkan keadaan dengan menghasut Amerika Syarikat supaya bertindak
campur tangan dalam krisis yang timbul di Timur Tengah iaitu di Greece dan juga
Turki. Ekoran daripada masalah kewangan yang dihadapi oleh Britain telah
menyukarkannya untuk bertindak sendirian dan memerlukan bantuan daripada
Amerika Syarikat untuk membantunya. Tambahan pula, Britain juga baru sahaja bangkit
akibat kerugian besar yang telah alami sewaktu perang dunia kedua. Britain cuba
menarik Amerika Syarikat untuk menolong Greece dan Turki tanpa melalui PBB. Hal
ini demikian kerana, jika pertolongan dilakukan melalui PBB, ia tidak akan
berhasil kerana Kesatuan Soviet sentiasa menjadi batu penghalang.
Selain itu, Britain juga meyakinkan
Amerika Syarikat bahawa dasar luar Soviet adalah bersifat agresif dan bukan
defensif. Malah sejak dari Potsdam lagi Britain cuba meyakinkan Amerika Syarikat
tentang keagresifan dasar luar Soviet yang perlu diambil perhatian.[17] Namun begitu, Britain
menemui kegagalan dalam meyakinkan Amerika Syarikat dan penyelesaian terhadap
Postdam berjaya memihak kepada Soviet. Walau bagaimanapun, akhirnya Britain
berjaya meyakinkan Amerika Syarikat apabila ucapan tirai besi pada 5 Mac 1946
oleh Winston Churchill telah membuat Amerika Syarikat semakin percaya bahawa
Soviet sebenarnya agresif.[18] Britain meminta Amerika
Syarikat untuk membantunya campur tangan di Greece dan Turki. Hal ini
disebabkan oleh keselamatan Greece dan Turki penting kepada Britain kerana
kedua-dua negara ini mempunyai kepentingan terhadap British di Timur Tengah.
Jika sekiranya Greece dan Turki dikuasai oleh Soviet, Britain bimbang Timur
Tengah akan terdedah dengan ancaman Soviet dan secara tidak langsung ia juga
akan menjejaskan penguasaan Britain terhadap Timur Tengah.[19]
Oleh itu, Britain telah menarik minat
Amerika Syarikat dengan menawarkan hak pemilikan yang sama terhadap sumber
minyak Timur Tengah kepada Amerika Syarikat. Namun hakikatnya Britain mahu
Turki kekal bebas agar kawalan terhadap sumber minyak di Timur Tengah tidak
terjejas. Selain itu, Britain juga cuba meyakinkan Amerika Syarikat bahawa
bantuan terhadap Greece dan Turki adalah atas dasar tiket kemanusiaan. Justeru,
Britain meyakinkan Amerika Syarikat bahawa bantuan yang dihulurkan olehnya
bukan untuk menjaga kepentingan Britain, tetapi adalah atas dasar kemanusiaan.
Britain telah mendakwa Soviet akan menyekat hak berkerajaan sendiri dan hak
asasi manusia di Greece dan Turki jika Soviet berjaya menyerap kedua-dua negara
tersebut menjadi negara satelit Kesatuan Soviet.[20] Tambahan pula, untuk
mengukuhkan lagi tafsirannya, Britain memberi contoh beberapa negara yang
berada di bawah kawalan Soviet seperti Poland dan negara-negara Eropah Timur
yang tidak diberikan hak kebebasan untuk bersuara kerana perlu mematuhi arahan
Soviet di Moscow. Justeru, hal ini telah meyakinkan Amerika Syarikat untuk
campur tangan terhadap Greece dan Turki.
Melalui strategi Setiausaha Luar Britain
iaitu Ernest Bevin yang licik, Britain akhirnya berjaya menarik dan mengikat Amerika
Syarikat terhadap krisis di Greece dan Turki yang menjadi titik permulaan
kepada perubahan dasar luar Amerika Syarikat dengan memberi komitmen dari aspek
ekonomi terhadap benua Eropah.[21] Merujuk kepada Sekolah
Pemikiran British juga menyalahkan Britain di atas situasi ini kerana Bevin
telah memanipulasikan isu pengunduran tentera British dari Greece dan Turki.
Walhal, Britain telah memperdaya Amerika Syarikat dengan berpura-pura mahu
berundur daripada Greece dan Turki. Malah menuduh Kesatuan Soviet cuba
mengkomuniskan Greece dan Turki, lantas meminta Amerika Syarikat untuk
mempertahankannya. The Truman Doctrine,
in turn, is generally accepted as the real beginning of the Cold War; at least
it is the declaration of full American involvement.[22] Justeru, jelaslah
menunjukkan bahawa pada tanggal 12 Mac 1947 dengan melalui Doktrin Truman,
Amerika Syarikat akan menghulurkan bantuan kepada Greece dan juga Turki.
Keadaan ini menandakan “pengisytiharan perang” terhadap blok komunis dan secara
tidak langsung telah merasmikan Perang Dingin.
Rumusan
Secara
keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa Pihak Kuasa Besar yang paling
bertanggungjawab dalam menyebabkan tercetusnya Perang Dingin ialah Pihak Britain.
Hal ini jelas dapat dibuktikan menerusi tindakan-tindakan yang dilakukan oleh
pihak Britain yang telah bertindak menghasut dan meyakinkan Amerika Syarikat
dengan mencetuskan rasa syak wasangka dan was-was terhadap Kesatuan Soviet.
Walhal, sebenarnya Kesatuan Soviet bertindak sedemikian adalah bertujuan untuk
menuntut hak yang seharusnya dikembalikan kepada mereka. Malah, jika kita dapat
lihat Doktin Truman juga merupakan salah satu tanda atau turning point terhadap permulaan Perang Dingin antara blok
kapitalis dan blok komunis secara rasminya.[23] Tambahan pula, konflik
yang berlaku di Greece dan Turki jelas memperlihatkan siapa yang
bertanggungjawab dalam mencetuskan Perang Dingin. Justeru jelaslah menunjukkan
bahawa Britain merupakan kuasa besar yang bertanggungjawab terhadap peristiwa
Perang Dingin.
[1] H.L Peacock, Amri
Hasbullah dan Zaidah Othman (terj.), Sejarah Eropah Moden. (Kuala
Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1976), hlm. 447.
[2] Martin McCauley, The Origins of the Cold War,
New York: Longman Inc., 1983, hlm. 9.
[4] Hugh Higgins, The Cold War, London: Heinemann
Educational Books Ltd., 1979., hlm. 4.
[7] Ibid.
[8] H.L Peacock, Amri
Hasbullah dan Zaidah Othman (terj.), Sejarah Eropah Moden. 1976, hlm.
448.
[9] Melvyn P. Leffler dan
David S. Painter, (Eds.), Origins of the Cold War: An International
History, New York: Routledge, Taylor & Francis Group, 1994,
hlm. 138.
[11] Melvyn P Leffler dan David S.Painter (Eds.), Origins of the Cold
War: An International History, 1994, hlm.
159.
[12] Robert Frazier,‘Did Britain Start the Cold War? Bevin and The
Truman Doctrine, Britain: University of
Nottingham, The Historical Journal,
27, 3 (1984), pp. 716-718.
[13] Ibid.
[14]
Joseph Smith, The Origins of NATO.
(Exeter: University of Exeter Press, 1990), hlm. 68.
[15]
Melvyn P.
Leffler dan David S. Painter, (Eds.), Origins of the Cold War: An
International History, 1994, hlm.
139.
[16] Ibid.,
hlm. 141.
[20] Hugh Higgins, The Cold War, 1979, hlm. 46.
[21] Ibid.
[22] Robert Frazier,‘Did Britain Start the Cold War? Bevin and The
Truman Doctrine, Britain: University of
Nottingham, The Historical Journal,
27, 3 (1984), pp. 716.
Comments
Post a Comment